PELANCARAN PROGRAM MODULAR SEPARUH MASA KOLEJ KOMUNITI pada 24 Oktober 2010

petikan dari  http://www.kkbda.edu.my

PELANCARAN PROGRAM MODULAR SEPARUH MASA KOLEJ KOMUNITI

Majlis Pelancaran Program Modular Kebangsaan Secara Separuh Masa telah disempurnakan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi pada 24 Oktober 2010 bertempat di Kolej Komuniti Bandar Darulaman. Majlis ini telah dihadiri oleh pemimpin tempatan, wakil agensi dan industri serta masyarakat di sekitar Kolej Komuniti Bandar Darulaman seramai 1500 orang. Pelancaran ini telah membuka lembaran baru Kolej Komuniti sebagai peneraju komuniti berilmu dan berkemahiran.

Dalam RMK 10, Kerajaan telah memperkenalkan pendekatan yang lebih inovatif bagi kolej komuniti melalui perlaksanaan program modular yang dikenali sebagai Sijil Modular Kebangsaan (SMK). SMK ini membolehkan pelajar mengikuti pelbagai modul jangka pendek berasaskan keupayaaan mereka yang berlandaskan kepada proses kerja di sektor industri. Modul ini pula boleh digabungkan untuk melayakkan pelajar dianugerahkan Sijil Kolej Komuniti. Pendekatan modular yang lebih fleksibel ini akan menawarkan 135 kursus yang merangkumi pelbagai disiplin menjelang tahun 2015 berbanding 52 pada tahun 2010. Sasaran jumlah enrolmen kolej komuniti akan meningkat daripada 31,000 pelajar pada tahun 2010 kepada 120,000 pelajar menjelang tahun 2014.

Dengan pelaksanaan SMK separuh masa ini, diharap kolej komuniti akan terus menjadi wadah alternatif komuniti setempat untuk meningkatkan kemahiran mereka bagi menyumbang secara lestari pembangunan modal insan negara.

petikan daripada http://news.mylaunchpad.com.my

Kolej komuniti sedia program sijil separuh masa, galak pekerja timba kemahiran

BERNAMA – Sunday Oct 24, 2.33PM

JITRA, 24 Okt (Bernama) — Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi hari ini melancarkan Sijil Modular Kebangsaan secara separuh masa sebagai pendekatan baru yang lebih fleksibel bagi menggalakkan masyarakat mendapatkan latihan kemahiran. Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata melalui pembelajaran separuh masa, golongan pekerja boleh menyertai program modular itu di institusi tersebut tanpa perlu mengambil cuti atau berhenti kerja.

“Tumpuan kini khusus dalam usaha melonjakkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23 peratus kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang 2015. “Melalui pelaksanaan program modular separuh masa ini, ia membolehkan pelajar mengikuti pelbagai modul jangka pendek berasaskan keupayaan mereka dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu di Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, di sini. Katanya mereka yang berminat mengikuti program ini juga tidak memerlukan sijil lain sebagai prasyarat kemasukan, manakala setiap pelajar pula akan diajar mengikuti kemahiran asas sesuatu bidang.

Ini selaras dengan objektif Kolej Komuniti yang berperanan untuk memberi latihan dan kemahiran kepada masyarakat setempat di samping memberi peluang kepada pelajar lepasan menengah yang tercicir daripada pendidikan formal, kata beliau. Katanya buat masa ini sebanyak 48 kursus ditawarkan dan ia dijangka meningkat kepada 135 kursus berlainan menjelang 2015. Beliau berkata kementerian turut mensasarkan jumlah kemasukan ke kolej komuniti meningkat daripada 20,000 pelajar kepada 120,000 menjelang 2014.

“Melalui bajet baru-baru ini juga, kolej komuniti merupakan antara institusi yang dipilih untuk menjayakan Latihan 1Malaysia dan kolej komuniti mendapat peruntukan sebanyak RM205 juta berbanding RM144 juta pada tahun ini. “Penambahan peruntukan ini mewajarkan kolej komuniti untuk bergerak lebih cergas dan dinamik,” katanya. – BERNAMA SMS SMS NM