LAPORAN AKTIVITI PERMOHONAN PERSIJILAN SISTEM AMALAN PERSEKITARAN BERKUALITI (QE) DI KOLEJ KOMUNITI KEPALA BATAS

Pada tanggal 24 Jun 2013, Kolej Komuniti Kepala Batas telah dianugerahkan dengan  Persijilan Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) oleh pihak Perbadanan Produktiviti Malaysia, setelah melalui proses Audit Penilaian Penuh yang dijalankan oleh Juruaudit MPC, Adlina Snawi. Persijilan  ini adalah hasil daripada usaha gigih kakitangan Kolej Komuniti Kepala Batas dari zon-zon yang terlibat dalam proses persijilan iaitu Zon Sinergi, Alamanda dan Inspirasi selama hampir setahun, iaitu sejak majlis pelancaran 5S diadakan pada bulan Ogos 2012 yang lalu. Berteraskan slogan ‘Warga Komited Persekitaran Kondusif’ , seluruh warga Kolej Komuniti Kepala Batas telah bersama-sama mengembleng tenaga menjayakan amalan 5S di zon dan ruang kerja masing-masing.

Mengimbau kembali detik-detik perjalanan usaha untuk memperolehi persijilan ini, anugerah ini adalah imbalan kepada komitmen penuh yang telah diberikan oleh semua kakitangan kolej komuniti dalam melaksanakan setiap elemen keizen yang telah digariskan iaitu seiri (sisih), seiton (sapu) , seiso (susun), seiketsu (seragam) dan shitsuke(sentiasa amal). Berpandukan kepada beberapa sesi penanda arasan yang diadakan di tiga institusi yang telah memperolehi persijilan 5S dan menjadi johan dalam pertandingan 5S iaitu Kolej Komuniti Bandar Darulaman, TNB Seberang Jaya dan PERDA Butterworth dan beberapa sesi perundingan bersama MPC, Kolej Komuniti telah mengorak langkah dengan begitu yakin dalam usaha memperolehi persijilan sistem amalan persekitaran berkualiti ini.

Dimulakan dengan aktiviti gotong-royong perdana yang diadakan pada bulan Februari dan April, amalan Seiri telah dijalankan di semua lokasi bangunan Kolej Komuniti Kepala Batas. Dalam aktiviti ini, sisihan telah dilakukan dengan mengumpullkan barang-barang kolej dan barangan peribadi  masing-masing yang tidak lagi digunakan. Aktiviti ini berjaya mengumpulkan barangan-barangan kolej yang sudah terlalu lama tersimpan, iaitu sejak kolej ditubuhkan sehinggalah kini.

Selepas aktiviti Seiri, kolej komuniti melangkah dengan lebih maju lagi, iaitu dengan  mengimplimentasikan Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke. Amalan Keizen ini telah diamalkan dengan jayanya di semua kawasan, namun untuk permulaan ini, amalan Seiketsu (seragam) dijalankan megikut zon masing-masing terlebih dahulu.

Sepanjang proses mendapatkan persijilan 5S, sebanyak 3 audit dalaman telah dijalankan dengan 2 darinya telah dijalankan sebelum Audit Prapersijilan MPC. Audit ketiga telah dijalankan seminggu sebelum audit Persijilan 5S iaitu dengan memfokuskan kepada penambah baikan berdasarkan komen yang dikeluarkan oleh auditor MPC, Puan A. Kasturi Devi semasa audit pra persijilan dijalankan. Audit-audit dalaman yang telah dijalankan di Kolej Komuniti Kepala Batas adalah berpandukan kriteria audit dalaman yang telah disediakan dalam Bengkel Penyediaan Kriteria Audit yang telah dihadiri oleh para auditor dalam KKKB pada tarikh 30 Januari 2013 dan Lawatan Perundingan MPC yang telah diadakan pada tarikh 27 November 2012.

Sebagai menambah motivasi dan menghargai jasa kakitangan Kolej Komuniti Kepala Batas atas usaha memperolehi Persijilan 5S, pihak pengurusan kolej dan zon-zon 5S mengadakan beberapa majlis penghargaan seperti jamuan makan bersempena gotong royong perdana, jamuan makan di peringkat zon dan pertandingan zon dan ruang kerja terbaik. Aktiviti yang terkini adalah Majlis Penghargaan Kejayaan 5S, ISO dan KIK yang diadakan bersempena meraikan kejayaan memperolehi persijilan Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti.

Berdasarkan komen yang dibuat oleh Auditor MPC, Puan Adlina Snawi pada laporan audit Persijilan, secara keseluruhannya KKKB telah mengamalkan 5S di kolej di mana komitmen semua warga KKKB dapat dilihat dari segi ‘team work’. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian seperti mempermudahkan dokumentasi 5S, sistem label yang lebih bersesuaian, mengikut kategori atau kerahsiaan, sistem stor dengan kawalan stok yang dikemaskini dan sistem keselamatan yang lebih terkawal. Pihak MPC mencadangkan agar KKKB dapat teruskan usaha untuk tingkatkan amalan 5S agar lebih efisyen dan efektif pada masa akan datang.

Kesimpulannya, Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti telah berjaya diterapkan di dalam persekitaran KKKB walaupun persijilan hanya melibatkan satu blok sahaja. Cabaran selepas memperolehi persijilan ini adalah menerapkan elemen ke lima 5S iaitu Shitsuke (sentiasa amal) kerana bagi satu institusi yang telah begitu lama beroperasi tanpa panduan Amalan Persekitaran Berkualiti ini, menerapkan elemen sentiasa amal pada diri setiap pekerja adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh. Semoga usaha gigih yang sentiasa berkekalan dari semua warga KKKB dan sokongan dari pihak pengurusan 5S dan pengurusan KKKB dapat membantu menjadikan amalan 5S sebagai budaya kerja di institusi ini.

Disediakan oleh: Pn. Fatimah binti Saidin

About team HEP KKKB

HEP KOLEJ KOMUNITI KEPALA BATAS
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.